Ramai ibu bapa beranggapan melancong bersama anak kecil menyusahkan. Akibatnya, mereka terpaksa menangguhkan aktiviti yang mungkin menjadi kegemaran sehingga anak besar, sekurang-kurangnya sehingga berusia tiga atau empat tahun. Agar kegemaran itu tidak perlu dikuburkan sementara, bersama ini ada panduan untuk membawa anak melancong walaupun mereka masih terlalu kecil.
Perkara yang perlu difikirkan:
  • Destinasi pilihan
Pastikan destinasi pilihan anda sesuai dengan usia anak. Sebagai contoh, jika anak masih kecil, jangan pilih lokasi percutian yang berpotensi untuk menyusahkan anda seperti percutian di dalam hutan. Seeloknya pilihlah lokasi yang tepat, misalnya yang ada kedai serbaneka bagi memudahkan anda mencari barangan keperluan bayi sekiranya diperlukan.
  • Jarak lokasi pilihan
Ketika memilih lokasi percutian, pastikan anda tidak memerlukan masa yang terlalu lama untuk sampai bagi mengelakkan anak rasa bosan. Atau jikalau jaraknya jauh, pastikan anda melancong dengan menaiki kapal terbang agar cepat sampai ke destinasi.
  • Kemudahan yang disediakan
Ketika memilih destinasi percutian, pastikan tempat tersebut ada menyediakan kemudahan yang ingin anda digunakan untuk keselesaan anak seperti cerek elektrik atau ‘jug kettle’, bilik air yang dilengkapi dengan alat pemanas air dan katil bayi (jika perlu). 
  • Pengangkutan yang akan digunakan
Sekiranya lokasi yang dipilih itu dekat dan anda merancang untuk ke sana dengan menaiki kereta, pastikan kereta anda selesa untuk anak. Sediakan ruang yang luas untuknya agar dia tidak tersepit dicelah-celah beg di sepanjang perjalanan. Jika anda memilih kenderaan awam seperti bas, kereta api ataupun kapal terbang pula, pastikan dia rasa selesa ketika berada di dalamnya. Seelok-eloknya, sediakan satu tempat duduk khas untuknya dan bukan duduk di atas pangku anda.
  • Pakaian
Pastikan pakaian yang anda bawa sesuai untuk dipakai di lokasi percutian. Misalnya, jika anda ingin membawa anak ke kawasan peranginan yang beriklim sejuk, anda mestilah membawa pakaian yang tebal dan jangan lupa pakaian tebalnya. Kuantiti pakaian yang dibawa juga mestilah mencukupi.
  • Barangan keperluan
Sebelum bercuti, buat senarai semak barangan keperluan yang diperlukan seisi keluarga ketika bercuti. Hal ini bagi mengelakkan ada daripada tertinggal barang-barang yang penting untuk anak.
  • Ubat-ubatan
Jika anak ada penyakit, pastikan anda tidak lupa membawa ubat-ubatan yang perlu diambilnya. Dan pastikan juga kuantiti ubat tersebut mencukupi sepanjang tempoh percutian tersebut.
  • Makanan dan minuman
Jangan galakkan anak makan makanan atau minuman yang dijual di tepi-tepi jalan. Pastikan makanan dan minuman benar-benar bersih sebelum diberi pada anak. Jika ada peluang dan kesempatan, lebih elok kalau anda sediakan sendiri makanan untuk anak.
  • Peti kecemasan
Bawa bersama anda peti kecemasan sendiri. Di dalamnya letakkan ubat-ubatan yang digunakan oleh anak anda sekiranya diserang masalah kesihatan secara tiba-tiba. Misalnya, ubat batuk, ubat demam, ubat selesema, pembalut luka, dan salap berwap.
  • Keselamatan anak
Setiap aktiviti yang ingin anda lakukan mestilah yang sesuai untuk anak kecil anda. Hal ini penting bagi mengelakkan terjadinya kemalangan. Selain itu, bagi anak-anak yang sudah agak besar, beri dia beg galas untuk dimasukkan barangan kegemarannya. Di dalam beg itu juga letakkan bersama nombor telefon anda dan pasangan agar anda berdua dapat dihubungi segera jika dia tersesat.
Info tambahan: 
  1. Bawa bersama mainan kegemaran anak dan buku cerita untuk menghilangkan rasa bosannya di sepanjang perjalanan kelak.
  2. Pastikan anda sentiasa membawa bekalan ‘tisu basah’ di dalam beg untuk menjaga kebersihan anak anda sepanjang masa.
  3. Pastikan makanan yang anda berikan kepada anak ketika bercuti sentiasa bersih bagi mengelakkan keracunan makanan yang akhirnya akan merosakkan percutian anda seisi keluarga.
  4. Jangan membawa terlalu banyak barang kerana semua ini akan menyusahkan anda untuk mengangkatnya.
  5. Gunakan masa cuti itu untuk bermesra dan bergembira dengan seisi keluarga. Lupakan semua masalah. Dengan cara ini, walaupun destinasi percutian anda dekat sahaja dengan rumah, ia akan menjadi percutian yang cukup bermakna dan dihargai.